
ATLANTA, Amerika Syarikat: Sepanyol mengimbau kembali mimpi ngeri mereka di Piala Dunia apabila juara Eropah itu diikat seri 0-0 oleh pendatang baharu, Cape Verde, dalam perlawanan pembukaan mereka di Atlanta sebentar tadi.
Lamine Yamal memulakan perlawanan di bangku simpanan kerana masih dalam proses pemulihan selepas hampir dua bulan berehat akibat kecederaan kecederaan otot belakang paha. Kemunculannya sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua juga gagal membantu Sepanyol menembusi pertahanan Cape Verde yang begitu berdisiplin.
Sejak menjuarai Piala Dunia buat kali pertama pada 2010, Sepanyol belum pernah memenangi sebarang perlawanan peringkat kalah mati. Kegagalan mereka memanfaatkan penguasaan bola mengingatkan kepada penyingkiran mengecewakan pada edisi 2018 dan 2022.
Dengan skuad yang disifatkan jurulatih Luis de la Fuente sebagai yang terbaik dalam kejohanan, Sepanyol dianggap antara calon utama untuk menjulang trofi pada 19 Julai. Namun, persembahan hambar mereka membuktikan betapa pentingnya peranan Yamal dan Nico Williams dalam jentera pasukan.

Williams, yang turut berdepan masalah kecederaan sepanjang musim bersama Athletic Bilbao, hanya diturunkan pada minit ke-87.
Menduduki kedudukan ke-67 dunia, Cape Verde membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia dan berjaya membanggakan negara yang mempunyai populasi lebih 500,000 penduduk itu.
Berbeza dengan keadaan cuaca panas yang dihadapi beberapa pasukan lain, stadium berhawa dingin di Atlanta tidak memberi alasan kepada Sepanyol untuk mempamerkan tempo permainan yang perlahan.
Malah, rehat hidrasi pada pertengahan babak pertama disambut dengan sorakan tidak puas hati daripada penyokong yang kecewa dengan gangguan permainan meskipun keadaan di stadium selesa.

Sepanyol hanya mula memberikan ancaman sebenar enam minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Marc Cucurella, yang baru melengkapkan perpindahan dari Chelsea ke Real Madrid, melakukan hantaran lintang berbahaya yang disambut Ferran Torres, namun percubaannya terkena palang. Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, kemudian cemerlang menepis tandukan Mikel Oyarzabal melepasi palang.
Torres sekali lagi menguji Vozinha sebelum tandukan Aymeric Laporte hasil sepakan penjuru turut berjaya diselamatkan penjaga gol itu menjelang tamat babak pertama.
Cape Verde memperoleh kelegaan apabila wisel separuh masa dibunyikan dan terus bertahan dengan baik sepanjang separuh masa kedua.


Kemasukan Yamal selepas rehat hidrasi kedua memberi suntikan tenaga kepada serangan Sepanyol yang sebelum itu kurang bermaya. Sentuhan pertamanya membuka peluang kepada Mikel Merino, namun percubaan pemain itu berjaya diselamatkan oleh Vozinha.
Yamal turut memulakan gerakan yang menghasilkan peluang terbaik Sepanyol pada separuh masa kedua menerusi percubaan Oyarzabal yang dibias keluar.
Cape Verde hampir mencipta kejutan pada minit terakhir perlawanan, namun tandukan Dani Borges tepat ke arah Unai Simon.
Menariknya, perjalanan Sepanyol menuju gelaran dunia pada 2010 juga bermula dengan kekalahan kepada Switzerland. Namun, mereka masih mempunyai banyak aspek yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Atlanta pada Ahad.
Cape Verde pula akan menentang Uruguay dalam perlawanan seterusnya di Miami. – AFP