


KOTA SAMARAHAN: Bulatan Pusat Jantung Samarahan dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Samarahan ditutup separuh jalan bermula 7 hingga 18 November ini.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, penutupan itu bermula 9.00 malam hingga 4.00 pagi sepanjang tempoh tersebut untuk kerja-kerja pembaikan dan penurapan semula permukaan jalan raya.
“Penurapan jalan raya Kuching-Samarahan Expressway itu melibatkan penutupan sementara separuh jalan bulatan Pusat Jantung Samarahan dan bulatan ILP Samarahan,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Sehubungan itu, para pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati semasa memandu di laluan tersebut semasa tempoh berkenaan dan mematuhi segala pengurusan trafik untuk keselamatan sehingga tamat kerja-kerja pembaikan
“Pihak Pejabat Wilayah Selatan JKR Sarawak akan memaklumkan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh, waktu atau kawasan yang terlibat dengan kerja- kerja ini.
“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan untuk merancang perjalanan di kawasan- kawasan yang terlibat,” kata kenyataan itu lagi.
Untuk sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan aliran trafik tersebut, orang ramai digalakkan untuk hubungi Pejabat JKR Wilayah Selatan melalui talian 082-203 096 pada waktu pejabat.