SIBU: Acara Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge terus mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan penyertaan pasukan dari pelbagai negara, termasuk Thailand, Indonesia, Brunei, dan Malaysia.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan acara ini, yang menurutnya telah membuka ruang luas kepada pembangunan sukan permotoran di Sibu.
“Sambutan yang amat menggalakkan, baik daripada pasukan tempatan mahupun antarabangsa, jelas menunjukkan acara ini semakin diiktiraf.
“Saya percaya, dengan perancangan yang teliti dan promosi berkesan, sukan permotoran seperti ini berpotensi menjadi produk pelancongan yang bernilai, setanding dengan perlumbaan F1 atau MotoGP di Sepang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge 2024 Edisi Ketiga di Sibujaya Extreme Motocross Track, hari ini.
Beliau turut menekankan potensi Sibu Jaya Extreme Motocross Challenge untuk menjadi destinasi sukan permotoran antarabangsa yang mampu menarik peminat dari luar negara.
Acara ini bukan sahaja mempromosikan sukan, tetapi juga memberi impak besar kepada sektor pelancongan tempatan, terutamanya dalam bidang pelancongan sukan.
“Sibu dan Sarawak berpotensi menjadi hab sukan yang berdaya saing di rantau ini.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd, GP Sibu Jaya Extreme Motorsport Club, dan semua pihak penganjur atas dedikasi mereka yang membawa acara ini ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.
Beliau juga berharap peserta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlumbaan dan menjadikan acara ini titik permulaan untuk lebih banyak kejayaan sukan permotoran di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei, Presiden Kelab GP Sibujaya Extreme Motosport Sii How Ping, wakil Persatuan Motosport Malaysia Roslan Kamaruddin dan Pengurus Besar Amcorp Sibujaya James Ho.
Oleh Tarani Lanting