PANTU: Pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pembangunan minda, pendidikan, bakat dan modal insan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata pembangunan manusia merupakan elemen penting dalam memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, memiliki keupayaan menghadapi cabaran semasa serta menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Menurutnya, kemajuan fizikal perlu bergerak seiring dengan usaha memperkasa masyarakat supaya manfaat pembangunan dapat diteruskan dan memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang.
“Pembangunan bukan hanya mengenai jalan, bangunan dan kemudahan asas, tetapi turut melibatkan pembangunan manusia yang menjadi aset penting kepada sesebuah kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Amie, Kampung Kara Tinting Jagu, semalam.
Dalam pada itu, Mong turut menekankan kepentingan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai pemimpin yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, pemimpin masyarakat perlu melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, kejujuran dan tanggungjawab, selain sentiasa mengambil berat terhadap keperluan serta kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
Beliau turut menyentuh mengenai penetapan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelantikan baharu Tuai Rumah yang, antara lain, memperlihatkan keperluan terhadap kepimpinan akar umbi yang mempunyai asas pendidikan serta keupayaan melaksanakan tanggungjawab pentadbiran.
Sementara itu, Mong menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam meneruskan agenda pembangunan negeri bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM530,000 bagi menyokong pelbagai keperluan pembangunan komuniti di kawasan Kara.
Antaranya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Amie menerima tambahan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM50,000 bagi pembinaan sistem perparitan, selain RM10,000 melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK Rumah Amie serta RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Amie Kara Tinting.

JKKK Rumah Maureen dan JKKK Rumah Enta pula masing-masing menerima peruntukan RTP sebanyak RM150,000, manakala JKKK Rumah Lang menerima RM50,000 dan JKKK Rumah Senang sebanyak RM100,000 bagi kerja menaik taraf Dewan Komuniti.
Melalui peruntukan MRP pula, Tuai Rumah Maureen, Tuai Rumah Enta dan Tuai Rumah Senang masing-masing menerima RM5,000, manakala Tuai Rumah Lang menerima RM2,000.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Mathew Igoh; penghulu; Ahli Majlis Daerah Sri Aman; Tuai-Tuai Rumah bersama JKKK dan Biro Wanita serta penduduk sekitar DUN Bukit Begunan.
Oleh Adi Safarman





