Limbang, Lawas berpotensi jadi hab agromakanan, perdagangan rentas sempadan

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang.

LIMBANG: Limbang dan Lawas berpotensi dibangunkan sebagai hab agromakanan serta perdagangan rentas sempadan berikutan kedudukan strategik kedua-dua bahagian di utara Sarawak yang bersempadan dengan Brunei Darussalam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata potensi tanah dan sumber semula jadi yang terdapat di kedua-dua kawasan itu boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan, memperkukuh keselamatan makanan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada usahawan tempatan.

Menurutnya, pembangunan sektor agromakanan secara mampan juga mampu membantu pengusaha tempatan menambah nilai produk dan meneroka pasaran baharu di peringkat serantau.

PENYAMPAIAN HADIAH… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang.

“Kita melihat bahawa Limbang dan Lawas ini mempunyai potensi dari segi pelancongan, ekopelancongan, pelancongan komuniti, pelancongan budaya dan pelancongan makanan.

“Kita mempunyai pelbagai kekuatan, termasuk tanah yang mempunyai potensi untuk dibangunkan. Kita boleh menjadi pusat pembangunan agromakanan dan menyokong usaha memperkukuh keselamatan makanan.

“Kita juga mempunyai wilayah sempadan yang memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan lagi perdagangan rentas sempadan,” katanya ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, Sabtu lalu.

SUASANA… Orang ramai memeriahkan Pesta Limbang 2026 yang berlangsung di Dataran Tebingan Sungai Limbang.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Kedua berkata, kedudukan strategik Limbang dan Lawas turut membuka ruang lebih luas untuk pengembangan aktiviti ekonomi serta kerjasama rentas sempadan.

Katanya, potensi berkenaan perlu dimanfaatkan secara bersepadu bagi memastikan pembangunan kedua-dua bahagian itu terus berkembang serta memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi setempat.

Oleh Adeng Edrus