
SEOUL: Kumpulan K-pop BTS meneruskan kehadirannya di carta Billboard Amerika Syarikat (AS), dengan album terbaharu dan single utamanya menduduki carta untuk minggu ke-14 berturut-turut, manakala artis lain di bawah Hybe turut memperoleh tempat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut carta Billboard terkini, album studio kelima BTS “Arirang” kekal pada nombor 10 dalam carta album Billboard 200 iaitu tidak berubah daripada minggu sebelumnya.
Dikeluarkan pada Mac, album itu mencipta sejarah K-pop dengan menjadi yang pertama berada pada nombor satu carta untuk tiga minggu berturut-turut dan sejak itu kekal pada kedudukan teratas.
Lagu utama album “Swim” meraih tempat ke-63 dalam carta single Billboard Hot 100.
Artis K-pop lain di bawah label Hybe juga membuat penampilan yang ketara.
Single kolaboratif “Iconic By Mistake” oleh kumpulan gadis Le Sserafim, Illit dan Katseye debut pada nombor 43 di Hot 100 manakala “Pinky Up” Katseye memperoleh tempat ke-97.
Cortis, artis baru di bawah BigHit Music, menduduki nombor 94 di Billboard 200 dengan “GreenGreen.” Katseye turut menempatkan dua keluaran tambahan pada carta, dengan “Beautiful Chaos” di nombor 118 dan “SIS” di nombor 179.
Selain itu, Jennie BLACKPINK mendaki lapan tempat ke nombor 10 dalam Hot 100 dengan “Dracula,” hasil kerjasama dengan Tame Impala.
Runut bunyi bagi filem animasi Netflix “KPop Demon Hunters” naik 11 tempat ke nombor 16 di Billboard 200. – Bernama-Yonhap