SIBU: Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Sibu diserbu orang ramai berikutan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bermula semalam.
BSN adalah institusi kewangan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melaksanakan pembayaran BPN kepada penerima.
Menurut info dari bank berkenaan, orang ramai yang berkunjung ke cawangan BSN semalam berkemungkinan tidak mempunyai akses internet atau kemudahan perbankan atas talian untuk menyemak status BPN mereka.
“BSN ada mengeluarkan notis atau hebahan mengenai proses pembayaran BPN di media sosial untuk rujukan orang ramai.
“Oleh itu, bagi mereka yang layak atau lulus, mereka boleh membuat pengeluaran di mana-mana ATM yang berdekatan, itu jika perlu,” katanya apabila ditemui pemberita.
Bagi yang mempunyai akses internet, semakan BPN boleh dibuat di laman portal BPN, tambahanya.
Sementara itu, BSN menerusi hebahannya berkata, pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa, pada April dan Mei 2020, dengan fasa pertama pembayaran menerusi pengkreditan ke akaun akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 April 2020 hingga 15 April 2020.
“Pengeluaran wang tunai boleh dibuat di semua ATM rangkaian MEPS di seluruh negara, yang mana caj RM1 bagi urus niaga pengeluaran tunai antara bank di semua ATM dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, BSN turut menasihatkan penerima untuk sentiasa mempraktikkan penjarakan sosial sejauh satu meter serta mengunjungi cawangan BSN sekiranya perlu saja.
Bagi penerima status pengkreditan Gagal kredit dan tiada rekod, penerima dinasihatkan untuk membuat semakan kelayakan masing-masing secara atas talian terlebih dulu dengan melayari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (https://www.hasil.gov.my) dan https://bpn.hasil.gov.my.
“Kami juga menggalakkan transaksi melalui myBSN kepada pemegang akaun BSN,” katanya.