
SIBU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu mencadangkan penubuhan cawangan di kawasan luar bandar zon tengah Sarawak meliputi Song, Kapit dan Sarikei.
Pengerusinya, Penghulu Chua Hiong Kee berkata, ini bagi membolehkan BSMM sebagai organisasi sukarelawan memberikan tindak balas yang pantas dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran.
“Kita perlu pergi ke kawasan luar bandar untuk mencari dan mengenal pasti kawasan yang berpotensi, lihat sama ada kita boleh menubuhkan cawangan BSMM.
“Usaha ini sangat penting supaya semasa kecemasan cawangan ini boleh tiba lebih awal sebelum badan berkanun kerajaan sampai, inilah visi kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penjualan bendera BSMM di Pasar Tamu Sibu Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya akan memberikan sokongan penuh kepada peringkat cawangan BSMM yang ditubuhkan.
“Sebaik sahaja mereka (cawangan) menghubungi kami, kami dari Sibu akan memberi sokongan penuh kepada mereka. Kami segera mengatur dan mengenal pasti apa jenis perkara yang boleh kami bantu kepada mangsa,” katanya.
Beliau mahu penduduk di kawasan yang telah dikenal pasti diberikan latihan sebagai pembantu yang berkelayakan.
“Saya amat menggalakkan penduduk di bahagian tersebut untuk menubuhkan cawangan, dimana mereka perlu dilatih sebagai pembantu pertama yang berkelayakan.
“Semasa berlaku kes kecemasan, mereka boleh menghulurkan bantuan kepada mangsa, ini sangat penting,” tegasnya.
Menyentuh tentang program tersebut, Chua memberitahu, ini adalah kali yang keempat selepas program pertama di Star Mega Mall, Pasar Sentral, Rajang Park dan Pasar Tamu Sibu Jaya.
Turut hadir Naib Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP), Zon Tengah Datuk Teo Boon Siew,
Pengerusi PDP Sibu Jaya, Paul Teo serta yang lain.
Oleh Akun Giman