Bomba serah surat selesai siasatan kepada SMK Lawas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SERAH KEMBALI… Clarence (tiga, kanan) menyerahkan surat serah milik semula kepada wakil SMK Lawas merangkap Penyelaras Kelas Pendidikan Khas dan Integrasi Waqiyuddin Mohammad . Turut kelihatan (dari kanan) Azman, Gregory dan Ngo (empat kanan). 
 

LAWAS: Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon Tujuh Clarance D. Primus Tiandun menyerahkan surat serah milik semula premis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Lawas kepada wakil sekolah itu, hari ini.

Sebelum ini, SMK Lawas yang terlibat dalam kebakaran malam tadi ditutup sejak Selasa lepas untuk membolehkan bomba menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian kebakaran itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan ambil milik premis di bawah Seksyen 46 Akta 341 untuk tujuan siasatan dalam tempoh tujuh hari bagi mana-mana bangunan dan premis yang terbakar.

Pada malam Isnin, dua blok bangunan SMK Lawas ranap dalam kebakaran yang berlaku 11.36 malam sekali gus  memusnahkan  blok pentadbiran  dan blok gedung ilmu sekolah itu.

Selain Azman, hadir menyaksikan penyerahan surat serah milik semula SMK Lawas ialah Pegawai BPK Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak, Penguasa Kanan Bomba Dua Gregory Kurung  Suwen,  dan Pegawai Operasi BBP Lawas , Pegawai Bomba Kanan Satu  Ngo Avan. 

Oleh Adeng Edrus