
BAU: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit berhampiran Kampung Keranji, awal pagi tadi.
Mangsa, 54, berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada 4.18 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri sebelum memasuki parit.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamatan kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa ke tempat yang selamat sebelum memberikan rawatan awal.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi dikawal pada 4.30 pagi dan ditamatkan pada 4.55 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi selamat.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tan Chien Ming dengan kekuatan empat anggota menggunakan sebuah jentera FRT.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.

