MIAMI (Amerika Syarikat): Bintang Perancis Kylian Mbappe muncul penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia selepas memecahkan rekod 21 gol milik Lionel Messi pada aksi penentuan tempat ketiga awal pagi tadi (waktu Malaysia), meskipun Les Bleus tewas 6-4 kepada England, lapor Xinhua.
Dua jaringan yang dihasilkan dalam perlawanan itu menyaksikan Mbappe kini mengumpul 22 gol dalam 22 penampilan di pentas Piala Dunia, sekali gus mengatasi rekod Messi.
Penyerang itu turut mengukuhkan cengkaman dalam perebutan Kasut Emas selepas meledak 10 gol pada kejohanan kali ini, dua jaringan mengatasi Messi.
Sementara itu, Michael Olise turut mencipta rekod baharu Piala Dunia selepas menghasilkan dua bantuan jaringan dalam perlawanan berkenaan, menjadikan keseluruhan tujuh bantuan jaringan sepanjang kejohanan.
Catatan itu mengatasi rekod enam bantuan jaringan dalam satu edisi Piala Dunia yang sebelum ini dipegang legenda Brazil, Pele.- Bernama-Xinhua


