
PANTAU… Anggota menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal. Foto BBP Miri Sentral
MIRI: Seorang pemandu terselamat selepas kereta jenis Proton Persona yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri apabila merempuh pokok berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di Jalan Miri-Bintulu, petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang sebelum sebuah jentera bomba dan penyelamat (FRT) bersama kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 6.03 petang dan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Proton Persona yang terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.
Pemandu bagaimanapun berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba dan telah dibawa ke hospital oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan.
Komander operasi kemudian mengarahkan anggota menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.
Tiada operasi menyelamat dijalankan kerana mangsa telah berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Operasi ditamatkan pada 6.20 petang sebelum pasukan bomba beredar pulang ke balai.
Polis Trafik turut berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.


