Warga emas cedera motosikal dilanggar kereta ketika mengisi minyak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RAWATAN… Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Shell Tapah, Siburan sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Foto JBPM

SIBURAN: Seorang lelaki warga emas cedera selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Shell Tapah, di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.45 pagi.

“Setibanya di lokasi lima minit kemudian, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang melanggar motosikal ketika mangsa sedang mengisi minyak.

“Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan terbuka pada lutut, manakala pemandu kereta yang juga warga emas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS) JBPM sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada 10.23 pagi,” katanya.

Oleh Adele Rissa