
BINTANGOR: Pihak bomba terus mempergiat pemantauan di kawasan rendah berisiko banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, rondaan pemantauan yang dijalankan di sekitar tebingan sungai Batang Rajang pada malam tadi mendapati keadaan masih terkawal.
“Dua anggota bomba bertugas menjalankan rondaan pemantauan tersebut.
“Ketika pemantauan dijalankan dari jam 11.00 malam hingga 11.30 malam, keadaan cuaca baik dan paras air sungai menunjukkan trend penurunan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, rondaan pemantauan tersebut adalah langkah kesiapsiagaan di musim monsun timur laut (MTL).
“Pihak kami (bomba) akan terus memantau di kawasan rendah berisiko banjir.
“Alhamdulillah, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek