Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Birarak Gawai Taee ke-56 cerminan perpaduan rakyat Sarawak
  • TEMPATAN

Birarak Gawai Taee ke-56 cerminan perpaduan rakyat Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGUNJUNG yang hadir untuk menyaksikan Perarakan Birarak Gawai Taee ke-56, satu tradisi tahunan yang bukan sahaja meraikan Pesta Menuai, malah menjadi lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

SERIAN: Seawal pagi, jalan-jalan Kampung Taee sudah mula dipenuhi pengunjung yang hadir untuk menyaksikan Perarakan Birarak Gawai Taee ke-56, satu tradisi tahunan yang bukan sahaja meraikan Pesta Menuai, malah menjadi lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Ketika bunyi gong dan gendang mula bergema di seluruh kampung, deretan kenderaan berhias yang menampilkan elemen budaya Bidayuh bergerak perlahan di sepanjang laluan perarakan, diiringi peserta berpakaian tradisional yang mencuri perhatian ribuan pengunjung.

Namun, di sebalik kemeriahan warna-warni perarakan itu, terselit satu perkara yang lebih bermakna , semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Sarawak sejak sekian lama.

Sepanjang laluan perarakan, bukan sahaja penduduk Bidayuh membuka pintu rumah mereka untuk menyambut tetamu, malah penduduk berbangsa Melayu yang menetap di kampung tersebut turut sama menjayakan sambutan dengan menyediakan pelbagai juadah, kuih-muih tradisional serta minuman kepada peserta dan pengunjung.

Tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, mereka berganding bahu memastikan setiap tetamu yang hadir dapat merasai kemesraan serta keunikan sambutan Gawai yang diraikan bersama sebagai sebuah keluarga besar.

Di beberapa rumah, pengunjung kelihatan berehat seketika sambil menikmati hidangan yang disediakan sebelum meneruskan perjalanan mengikuti perarakan. 

Ada yang berbual mesra, ada yang bergambar bersama, manakala kanak-kanak pula bebas bermain tanpa menghiraukan perbezaan yang wujud antara mereka.

Suasana itu menggambarkan realiti kehidupan masyarakat Sarawak yang hidup dalam keadaan harmoni, saling menghormati dan sentiasa berkongsi kegembiraan ketika musim perayaan.

Bagi ramai pengunjung yang datang dari luar Serian, pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana seluruh komuniti berganding bahu menjayakan sambutan tersebut menjadi antara kenangan paling berharga yang dibawa pulang.

Ketika banyak tempat bercakap mengenai perpaduan, Kampung Taee memperlihatkannya dalam bentuk yang paling sederhana tetapi cukup bermakna, melalui senyuman, layanan mesra dan hidangan yang dikongsi bersama.

Tatkala matahari mula condong ke barat dan perarakan menghampiri penghujungnya, kemeriahan masih berterusan. Orang ramai terus memenuhi kawasan kampung sambil menikmati suasana perayaan yang meriah dan penuh warna-warni.

Menariknya, ketika perarakan sedang berlangsung, hujan renyai-renyai mula membasahi bumi Taee seolah-olah membawa rahmat kepada sambutan yang diraikan penuh kesyukuran itu.

Namun, cuaca tersebut langsung tidak mematahkan semangat peserta mahupun pengunjung. Malah, ramai terus memenuhi sepanjang laluan perarakan sambil berteduh di bawah payung dan khemah, manakala ada yang memilih untuk terus menikmati kemeriahan sambutan dalam suasana yang lebih nyaman.

Bagi masyarakat setempat, hujan yang turun ketika musim Gawai sering dianggap sebagai simbol keberkatan dan rezeki buat musim yang bakal ditempuhi.

Di Kampung Taee, titisan hujan petang itu seakan-akan melengkapkan lagi keindahan Birarak Gawai ke-56 yang bukan sahaja meriah dengan warna-warni budaya, malah dibasahi dengan hujan rahmat yang menyatukan seluruh komuniti dalam suasana penuh harmoni dan kesyukuran.

Di Kampung Taee, Gawai bukan sekadar perayaan masyarakat Dayak.

Ia adalah perayaan seluruh komuniti, tempat di mana perbezaan diraikan, persahabatan diperkukuhkan dan semangat perpaduan rakyat Sarawak terus mekar dari satu generasi ke generasi yang lain.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kumau dan Kaleng jadi wajah warisan Bidayuh di Birarak Gawai Taee
Next: Budaya ‘ngabang’ perkukuh perpaduan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.