KEJUARAAN Bina Badan Mr. Sarawak Ke-56 anjuran MDBBA di Pusat Membeli-belah Boulevard, Miri.
PENYERTAAN pendatang baharu dalam sukan bina badan di Sarawak kali ini sangat menggalakkan dan menggembirakan Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA).
Presidennya, Dato Wee Hong Seng berkata, pada Kejuaraan Bina Badan Mr. Sarawak Ke-56 di Miri ramai muka baharu yang menyertainya termasuk juga pengadil.
Ini bermakna, sejak dua tahun pandemik para peserta telah menjalani latihan bagi membentuk badan yang baik dalam menyertai acara sukan bina badan.
“Saya cukup gembira kerana anda boleh melihat kami mempunyai ramai pendatang baharu serta mempunyai pengadil baharu.
“Jadi, ini bermakna kita tahu sejak dua tahun lalu sewaktu pandemik mereka tidak berehat atau bercuti sebaliknya meneruskan latihan dan hasilnya dapat kita lihat hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kejuaraan Bina Badan Mr. Sarawak Ke-56 anjuran Persatuan Bina Badan Bahagian Miri (MDBBA) di Pusat Membeli-belah Boulevard, Miri.
Kali terakhir Kejuaraan Bina Badan Mr. Sarawak Ke-55 diadakan pada tahun 2019 di Sibu.
Seramai 33 orang peserta dari zon Kuching, Sibu dan Miri menyertai pertandingan ini dengan pemenang akan mewakili Sarawak dalam Kejuaraan Kebangsaan Mr. Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah pada bulan Ogos nanti.
Dalam Kejuaraan Bina Badan Mr. Sarawak Ke-56, Daubline Timbol dari Kuching memenangi kategori Flyweight, Hamizan Zaudin dari Miri memenangi kategori Bantam Weight dan Joseph Ladi juga dari Kuching menang kategori Light Weight.
Sementara itu, Awang Hosin Awangku Bagui dari Miri menang kategori Welterweight, begitu juga Awang Mohd Azizul Ghani dari Kuching menang kategori Middleweight dan Farrokh Ibtisam Ting dari Sibu menang kategori Light Middleweight serta Muhammad Hafiz Remmy dari Miri memenangi kategori Heavyweight.
Pemenang Best Poser dimenangi Daubline Timbol dari Kuching dan Juara Keseluruhan disandang Joseph Ladi dari Kuching.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden SBBA Dato Wee Hong Seng.