BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) menjadi salah satu pemangkin utama dalam memacu ekonomi dan sektor pelancongan di Bintulu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran festival itu turut menyediakan pengalaman baharu yang menarik kepada para pelancong menerusi faktor kepelbagaian budaya di negeri ini.
“BIKF ke-17 tahun ini disertai oleh 28 negara termasuk Malaysia dan lapan negeri termasuk Sarawak.
”Jumlah peserta BIKF 2024 adalah seramai 170 orang. Selain itu juga, BIKF melibatkan penjaja kecil serta usahawan tempatan dengan reruai jualan sebanyak 109 unit yang menjual pelbagai produk tempatan.
”Selain itu, kedatangan pelancong yang ramai ke Bintulu sepanjang BIKF dapat dirasai apabila semua bilik hotel penuh ditempah dan kadar penghuni melebihi 75 peratus serta kehadiran melebihi 200,000 pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee semasa merasmikan festival itu di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, baru-baru ini.
Menjelas lanjut, katanya BIKF bukan sahaja mempromosikan pelancongan, tetapi turut memajukan konsep pelancongan lestari.
”Penganjuran BIKF juga berasaskan kepada konsep Uniti, Inklusiviti, Kolaborasi, Penjanaan ekonomi dan mempromosi pembangunan secara lestari.
“Pelan Strategik BDA 2024-2030 yang bertemakan ‘Low Carbon Industrial Hub 2030’ menggariskan pelbagai inisiatif alam sekitar, termasuk kempen pengurangan plastik dan program kitar semula.
“Langkah ini selaras dengan usaha Bintulu untuk menjadi destinasi pelancongan yang memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Untuk rekod, Karim turut memberitahu setiap peniaga secara purata telah memperolehi lebih kurang RM30,000 pendapatan kasar sepanjang festival pada tahun lepas.Turut hadir ialah, Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari.