KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan sembilan hari bermula 30 September depan untuk perbicaraan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru di sebuah bilik hotel di sini, Mac lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam agar kedua-dua pertuduhan dihadapi Avitan, 38, dibicarakan bersama mengikut Seksyen 165(1) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia melibatkan tertuduh sama dan insiden yang serupa.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama dan menetapkan 30 September, 1 hingga 3 Oktober dan 7 hingga 11 Oktober sebagai tarikh perbicaraan, serta 28 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata Norina pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik.
Peguam Navinjit Singh yang mewakili Avitan tidak membantah permohonan itu.
Ketika ditanya Norina, Mohamad Mustaffa memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil sebanyak 20 saksi termasuk pegawai rampasan dan pernyataan saksi akan disediakan.
Terdahulu, Avitan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 kepada 200 peluru sementara pertuduhan kedua, perubahan membabitkan nombor siri pistol jenis Glock dan Stoeger Cougar.
Sementara itu, Navinjit turut membangkitkan isu nama tertuduh pada kertas pertuduhan dan mendakwa nama anak guamnya dalam pasport Perancis yang digunakan untuk memasuki Malaysia ialah Shalom Avitan dan bukan Avitan Shalom.
“Mohon pindaan terhadap nama tertuduh dalam kertas pertuduhan memandangkan bidang kuasa di negara ini menggunakan kaedah nama diberi disebut dahulu dan nama keluarga disebut kemudian. Avitan Shalom boleh jadi orang lain,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Mohamad Mustaffa berkata, pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meminda nama tertuduh di kertas pertuduhan pada tahap ini atas alasan ia hanya membabitkan gaya penamaan.
Norina berkata, mahkamah mengambil maklum bantahan yang dibangkitkan pihak pembelaan dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara itu pada akhir perbicaraan kes.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6.00 petang pada 28 Mac. – Bernama