
SPAOH: Bahagian Betong dan kawasan berhampirannya bakal menikmati perkhidmatan udara apabila projek Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling siap menjelang November tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata projek itu akan dilaksanakan melalui syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo.
“Projek STOLport Bebuling bernilai RM248 juta, yang mana statusnya kini 73.77 peratus siap manakala Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Bebuling (CPPC) bernilai RM16 juta dan RM36 juta bagi pembinaan Jambatan Sungai Paku.
“CPPC hampir siap kecuali beberapa sentuhan yang perlu kami lakukan. Dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), ia bertujuan membangunkan kira-kira 1,000 ekar di sekitar STOLport.
“Kita telah memilih empat syarikat untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi di kawasan itu. CPPC akan mengumpul, memproses dan membungkus produk mereka dan mengangkutnya melalui udara ke pasaran dengan segera,” katanya semasa melakukan lawatan di tiga projek berimpak tinggi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban di sini hari ini.



Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris dan Residen Bahagian Betong Richard Micheal Abunawas.
Mengenai Jambatan Sungai Paku, Uggah berkata ia akan siap dan boleh mula digunakan menjelang November tahun ini, dengan projek itu kini 65.88 peratus siap.
“Kita telah melihat banyak projek infrastruktur utama dilaksanakan di kawasan luar bandar. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu projek sebegini dijalankan dan disiapkan dengan jayanya.
“Beliau mahu semua kawasan luar bandar dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang baik, termasuk jambatan. Ini akan membantu dalam membangunkan potensi ekonomi kawasan sebegini bagi meningkatkan pendapatan rakyat. Sebagai contoh, kita sedang membina jalan pesisir pantai dan jalan utama kedua,” katanya.
Beliau menambah, Sarawak juga sedang membina Jalan Link Sarawak-Sabah 1 dengan kos RM1 bilion dan Jalan Link Sarawak-Sabah 2 (RM7.1 bilion).
Selain itu, beliau berkata ini adalah tambahan kepada 16 jambatan yang sedang dibina di seluruh negeri.
“Menjelang bulan ini tidak lama lagi, Jambatan Jepak di Bintulu dan Jambatan Batang Rajang di Sibu akan dibuka untuk kegunaan orang ramai. Kemudian menjelang April nanti, Jambatan Saribas 1 akan siap manakala jambatan terpanjang negara merentasi sungai, iaitu jambatan Batang Lupar 1 akan siap.
“Jambatan Lingga di Sri Aman juga sudah siap tetapi kita sedang menunggu jalan masuknya di kedua-dua belah siap,” katanya.
Oleh Adi Safarman