SIBU: Semua ahli Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu harus memainkan peranan mereka dalam menjayakan pelaksanaan pelan pembangunan semula bandar ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mereka (UCA) harus bekerja dengan lebih keras kerana mereka berperanan penting dalam membangunkan masa depan Sibu.
“Saya tahu, anda semua pengalaman yang luas dalam mencapai usaha tersebut. Justeru itu, saya percaya ini akan menjadi batu loncatan yang baik untuk membangunkan masa depan Sibu,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan sambungan blok baharu bangunan UCA Sibu yang terletak di Jalan Alan, di sini semalam.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberitahu, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Sibujaya dengan kawasan tersebut kini pesat membangun.
“Selepas itu, kita membina jalan raya pintas dari Sibujaya ke pusat bandar (sedang dalam pembinaan). Ini adalah antara usaha yang kita telah laksanakan di dalam pelan pembangunan semula bandar Sibu,” ujarnya
Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada UCA Sibu di atas segala usaha keras mereka untuk memastikan kejayaan projek penyambungan blok baharu bangunan baharu tersebut.
“Kalau dulu saya datang ke sini adalah untuk menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan ini. Pada petang ini, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada UCA di atas jemputan kepada saya untuk merasmikan bangunan baharu UCA ini.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UCA Sibu kerana telah memberikan sumbangan kepada perubahan bandar ini serta kawasan berdekatan,” ujarnya lagi.
Turut hadir Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee, Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming dan Presiden UCA Ngieng Ping Sing.
Oleh Akun Giman