Berang dimarahi, lelaki 42 tahun pukul adik dan ugut bunuh

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 42 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul adik kandungnya serta mengugut untuk membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Nyabor Sabtu lalu. Foto IPD Saratok

SARATOK: Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul adik kandungnya serta mengugut untuk membunuh mangsa dalam kejadian di Kampung Nyabor, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang wanita berusia 40 tahun, bangun untuk ke tandas sebelum dipukul suspek menggunakan tangan di bahagian atas kanan kepala dan bahu kanan.

Menurutnya, suspek yang dipercayai abang kandung mangsa turut mengeluarkan ugutan bunuh ketika kejadian.

“Suspek kemudian keluar dari rumah sebelum bertindak memukul cermin hadapan kereta milik pengadu menggunakan tangannya sehingga menyebabkan cermin berkenaan retak.

“Suspek selepas itu beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan kemudian membuat laporan polis di Kabong pada kira-kira 1.22 petang pada hari sama.

“Mangsa turut dibekalkan Pol. 59 sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kabong,” katanya.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Muhammad Asraf Mad Nasir berjaya mengesan dan menahan suspek di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Nyabor.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine (AMP) dan methamphetamine (Meth).

Semakan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau, termasuk satu kes pada 2022 yang berstatus NFA serta dua kes lain yang masing-masing telah dijatuhi hukuman.

Dalam siasatan, suspek mengaku menumbuk mangsa menggunakan tangan di bahagian atas kanan kepala dan bahu kanan kerana berang selepas dimarahi.

Suspek turut mengaku mengeluarkan ugutan, “aku bunuh kau” terhadap mangsa sebelum keluar rumah dan merosakkan cermin hadapan kereta milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).

Polis memaklumkan suspek telah ditahan bagi melengkapkan siasatan dan tindakan lanjut.

Oleh Adi Safarman