Bengkel NEWS360 perkukuh kemahiran 50 pengamal media

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Timbalan Pengarah II UKAS, Joachim Paggang Jabong (duduk tengah) merakam kenangan bersama peserta Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 yang berlangsung di Hotel Premier, pada 6 hingga 7 November.

SIBU, 7 November: Seramai 50 pengamal media menamatkan Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk TV, Radio dan Digital 2026 yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran kewartawanan merentasi pelbagai platform penyampaian maklumat.

Bengkel selama dua hari bermula 6 hingga 7 November di Hotel Premier itu menghimpunkan warga Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pengamal media tempatan serta persatuan wartawan dari wilayah tengah.

Penganjuran program itu merupakan inisiatif kerajaan Sarawak melalui UKAS untuk memperkukuh pengetahuan dan profesionalisme pengamal media, khususnya dalam menghasilkan berita dan laporan khas bagi televisyen, radio serta platform digital.

Menurut sekretariat bengkel, Wilma Stanley Geramong, pelaksanaan siri pertama di Zon Tengah itu menjadi permulaan kepada usaha memperluas latihan seumpamanya kepada lebih ramai pengamal media di Sarawak.

Beliau berkata, bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada tiga siri yang dirancang UKAS, dengan program seterusnya akan diadakan di Kuching dan Miri.

Usaha itu, katanya, penting bagi membantu pengamal media menyesuaikan kemahiran dengan perkembangan landskap kewartawanan yang semakin meluas dan memerlukan penguasaan pelbagai kaedah penyampaian berita.

Bagi mencapai matlamat tersebut, bengkel berkenaan menampilkan dua penceramah jemputan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Profesor Madya Dr Nik Adzrieman Abdul Rahman, Dekan UUM Kampus Kuala Lumpur, dan Profesor Madya Dr Bahtiar Mohamad, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Perhubungan Korporat) UUM Kampus Kuala Lumpur.

Sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada asas penghasilan berita, termasuk penggunaan kaedah piramid terbalik dan prinsip 5W1H bagi memastikan penyampaian maklumat tersusun, jelas serta mudah difahami.

Penekanan turut diberikan kepada aspek keadilan dan neutraliti dalam penulisan, selain teknik temu bual, pengesahan fakta serta pemilihan sumber yang tepat bagi memastikan kredibiliti sesuatu laporan.

Pengetahuan itu kemudian diperkukuh menerusi latihan praktikal yang merangkumi penulisan berita, penggunaan data, pemilihan foto dan penyediaan kapsyen.

Selain kemahiran menghasilkan kandungan, peserta turut diberi pendedahan mengenai etika kewartawanan, keselamatan serta tanggungjawab dalam penerbitan berita.

Sebelum bengkel bermula, peserta mengikuti taklimat Persediaan Gerak Kerja, Pengurusan Maklumat dan Cabaran Wartawan oleh Penolong Pengarah UKAS, Yushairi Raduan, selain pengenalan kepada UKAS Help Desk oleh Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali.

Turut hadir Timbalan Pengarah II UKAS, Joachim Paggang Jabong, Pegawai UKAS Bahagian Sibu, Jelani Ajang, Presiden Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Florence Nervyn dan Pengerusi Institute of Rejang Journalists (IRJ), Yii Souk Ming.

Oleh Tarani Lanting