

SARATOK: Masjid serta surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka disaran meningkatkan usaha bagi memikat lebih banyak golongan muda dalam program yang diadakan sempena Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pengurusan masjid dan surau bukan sahaja perlu berkerjasama dengan golongan muda bagi melaksanakan aktiviti menarik, mereka juga harus lebih peka terhadap minat golongan belia di kawasan masing-masing.
Katanya, langkah itu mampu meluaskan fungsi dan peranan masjid mahupun surau di daerah ini sebagai pusat pengembangan ilmu serta budaya Islam.
“Usaha mengimarahkan masjid dan surau perlulah berterusan, bukan hanya pada Ramadan sahaja. Kita berharap lebih ramai golongan muda melihat kepentingan dan keperluan itu kerana mereka merupakan pewaris masa depan yang perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan agama,” katanya selepas menunaikan solat Tarawih di Surau Darul Taqwa Kampung Tanjung Tengah, malam semalam.
Beliau turut menyarankan jawatankuasa masjid dan surau di daerah itu menggunakan dana masjid yang disumbangkan setiap tahun untuk mengadakan aktiviti keagamaan dan pelbagaikan program tersebut untuk menarik belia dan belawanis di kawasan tersebut.
“Kewujudan pelbagai teknologi canggih menyebabkan golongan belia amat terdedah untuk mencuba perkara baharu. Di sinilah peranan masyarakat dan ahli keluarga untuk membimbing belia kerana mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi.
“Tanpa perhatian serta pengawasan, sudah tentu golongan ini mudah untuk terpesong ekoran gelodak jiwa muda. Sehubungan itu, golongan belia perlu dibantu oleh masyarakat untuk menjauhi perkara yang tidak bermanfaat dan penganjuran program bermanfaat perlu ditambah dari masa ke semasa,” tegasnya.
OLEH ADI SAFARMAN