Pokok besar tumbang sekat laluan ke LDS Samu, APM segera bertindak

Facebook
WhatsApp
APM Spaoh bersama sebuah syarikat swasta berganding bahu membantu kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang di LDS Samu, pagi tadi. Foto APM Spaoh

SPAOH: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh bersama pihak swasta berjaya memastikan laluan utama ke LDS Samu kembali selamat selepas sebatang pokok besar tumbang dari lereng bukit, pagi tadi.

Menurut kenyataan APM Spaoh, kejadian itu disedari selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Spaoh, Danny Lim, pada 8.50 pagi.

Susulan laporan berkenaan, empat anggota Skuad Alpha APM Spaoh diketuai Sarjan Hasla Deli segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pembersihan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebatang pokok bersaiz besar telah tumbang merentasi jalan dan menghalang sepenuhnya laluan kenderaan menuju ke Samu.

Keadaan pokok yang besar serta kedudukannya yang berisiko memerlukan kerja pembersihan dilakukan secara berhati-hati dan bersepadu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bagi mempercepatkan operasi, pihak QC Construction and Engineering Sdn Bhd (QCCE) turut mengerahkan aset serta pekerjanya ke lokasi untuk membantu kerja memotong dan mengalihkan pokok serta sisa tumbangan.

Kerjasama antara Skuad Alpha APM Spaoh dengan pasukan QCCE akhirnya membolehkan pokok yang menghalang laluan dipotong dan dibersihkan sepenuhnya.

Menurut APM Spaoh, laluan utama ke Samu kini telah disahkan selamat dan boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan.

Operasi pembersihan tamat pada 11.00 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kawasan sekitar benar-benar selamat kepada pengguna jalan raya.

APM turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian 083-473006 atau 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Oleh Adi Safarman