Pertemuan pertama waris Inche Darat erat hubungan keluarga Brunei-Sarawak

Facebook
WhatsApp
SELAMAT DATANG... KK Tinggal Baha ketika berucap aluan menyambut kedatangan rombongan Program Jejak Warisan Menyatu Keturunan dari Brunei Darussalam ke Kampung Nyalau, semalam.

NYALAU, Bintulu: Pertemuan waris keluarga Inche Darat dari Brunei dan Sarawak menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kalinya ahli keluarga daripada kedua-dua negara dapat berkumpul bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengenali susur galur keturunan masing-masing.

Menurut wakil keluarga, Ketua Kampung Terahad (Bekenu) iaitu Tinggal Baha selaku ketua waris Inche Darat di Kampung Nyalau, pertemuan itu menghimpunkan waris dari Tutong, Brunei, yang datang menziarahi serta bertemu keluarga di Nyalau.

“Ini merupakan kali pertama kita dapat berkumpul bersama waris datuk dan nenek kami dari Brunei, khususnya dari Tutong, untuk menziarahi dan melawat keluarga di Nyalau.

“Pertemuan ini juga memberi peluang kepada kita untuk berkenalan antara satu sama lain. Kebanyakan yang hadir merupakan sepupu kedua dan generasi keenam daripada datuk kami, iaitu datuk Inche Darat.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 300 orang hadir pada pertemuan ini, termasuk 135 orang dari Brunei,” katanya.

Menurutnya, pertemuan itu turut menjadi kesempatan bagi waris keluarga untuk menyusuri dan mengenali sanak saudara serta sepupu-sepapat yang berada di Kampung Nyalau.

“Pada awalnya, datuk dan nenek kita terpisah apabila sebahagian daripada mereka berhijrah dari Brunei ke Sarawak sebelum akhirnya menetap di Kampung Nyalau.

“Jadi, pertemuan pada hari ini merupakan satu peluang untuk kita menyusuri semula hubungan kekeluargaan dan mengenali sanak saudara serta sepupu-sepapat kita di Kampung Nyalau.

“Insya-Allah, program seperti ini kita rancang untuk diteruskan setiap tahun, sama ada di Kampung Nyalau ataupun di Penanjung Tutong, Brunei.

“Ini penting supaya anak-anak dan generasi akan datang lebih mengenali antara satu sama lain serta mengetahui susur galur waris keturunan daripada datuk dan nenek kita, Inche Darat, yang berasal dari Brunei,” katanya.

Oleh Adum Liu