Belanjawan 2027 perkukuh ekosistem digital negara, RM5 bilion untuk JENDELA

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

CYBERJAYA, 12 Oktober: Peruntukan RM5 bilion bagi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperluas liputan Internet berkualiti tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, peruntukan itu turut membolehkan peningkatan kesalinghubungan merentasi 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara.

Menurut MCMC, Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan serta mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

“MCMC menyambut baik Belanjawan 2027 yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan serta mempercepat transformasi digital negara,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Selain JENDELA, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem kesihatan digital negara menerusi Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, selain menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), perkhidmatan telekesihatan serta penggunaan dron bagi penghantaran ubat.

Langkah berkenaan dijangka menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi penduduk luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, peruntukan RM142 juta disediakan bagi memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital.

Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan untuk menyediakan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), di samping menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.

Dalam usaha memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, MCMC turut menyambut baik pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan.

Belanjawan 2027 turut memberi tumpuan kepada peluasan akses Internet di institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui penyediaan kemudahan Wi-Fi di semua IPT awam.

Inisiatif tersebut dijangka memastikan akses Internet yang lebih menyeluruh kepada pelajar, sekali gus menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

Pada masa sama, pembangunan Sovereign AI Cloud serta usaha mempertingkat keselamatan siber negara akan dilaksanakan bagi memperkukuh kedaulatan data, menyokong pembangunan AI yang selamat dan meningkatkan daya tahan ekosistem digital negara.

MCMC juga akan terus memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara serta membanteras penipuan digital, termasuk usaha menyekat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.

Menurut kenyataan itu, lebih 5.7 bilion panggilan dan SMS berunsur penipuan telah disekat.

Sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat nyata kepada rakyat, industri serta negara.

MCMC turut yakin pelaburan strategik berkenaan akan terus memacu pembangunan ekonomi digital dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital yang berdaya saing.