Belanjawan 2027 pacu peluang keusahawanan belia di Sarawak

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat merakam kenangan bersama peserta Program Sarawak Youth Startup Kohort Ketiga di Hotel Kingwood, hari ini.

SIBU, 11 Oktober: Peruntukan pembangunan RM16.2 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2027 dijangka membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada golongan belia, khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, peningkatan infrastruktur asas dan peluasan jaringan telekomunikasi mampu memperluas akses pasaran serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pembangunan jalan raya dan jambatan serta liputan telekomunikasi yang lebih meluas bukan sahaja memudahkan pergerakan barangan ke pasaran, malah membolehkan usahawan luar bandar memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.

“Apabila jaringan jalan raya, jambatan dan liputan telekomunikasi semakin meluas, lebih banyak kawasan berpotensi dapat dibangunkan sebagai pusat aktiviti ekonomi.

“Justeru, belia perlu merebut peluang ini dengan mengenal pasti kekuatan, sumber dan potensi ekonomi di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penutupan Program Sarawak Youth Startup Kohort Ketiga di sini, hari ini.

Ripin berkata, belia perlu mengambil peluang daripada perkembangan tersebut dengan meneroka sektor yang mempunyai potensi berdasarkan sumber dan kelebihan kawasan masing-masing.

Katanya, antara bidang yang boleh diceburi termasuk pertanian, penternakan, teknologi serta minyak dan gas.

Bagaimanapun, katanya, penguasaan pengetahuan asas keusahawanan perlu menjadi keutamaan sebelum golongan belia menceburi bidang perniagaan.

“Peserta perlu mempunyai asas yang kukuh dalam aspek perancangan, pengurusan modal dan pemasaran bagi memastikan perniagaan yang dibangunkan mampu bertahan dan berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, Ripin berkata, Program Sarawak Youth Startup menjadi antara platform yang membantu golongan belia mendapatkan pendedahan dan bimbingan sebelum memulakan perniagaan.

Menurutnya, latihan intensif selama lapan hari itu memberikan pengetahuan asas keusahawanan, termasuk perancangan perniagaan, pengurusan modal dan pemasaran digital.

Katanya, kementerian turut menyediakan sokongan dan bimbingan susulan bagi membantu peserta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mengulas mengenai pelaksanaan kohort ketiga, beliau berkata, program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan usahawan teknologi atau technopreneur yang mampu memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti perniagaan.

“Peserta diberi pendedahan kepada pelbagai aspek keusahawanan, termasuk pendaftaran perniagaan dan lesen, perancangan, pengurusan modal, peningkatan kemahiran serta pemasaran digital,” katanya.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama lebih 45 rakan strategik daripada kementerian serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ripin berkata, kohort ketiga itu melibatkan belia dari Zon Tengah Sarawak yang merangkumi Sibu, Mukah, Kapit, Sarikei dan kawasan sekitarnya.

Penganjuran di Sibu merupakan kesinambungan program terdahulu yang diadakan di Kuching pada Disember 2024 dan Miri pada November 2025.

Beliau berkata, program berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia berdaya saing yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan sendiri, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda lain.

Katanya, usaha itu sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh sosioekonomi masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Oleh Tarani Lanting