Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Bekas Presiden Yoon dihukum penjara 30 tahun bagi kes pencerobohan dron
  • GLOBAL

Bekas Presiden Yoon dihukum penjara 30 tahun bagi kes pencerobohan dron

Utusan Sarawak 2 hours ago
GAMBAR fail menunjukkan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menjawab soalan wartawan semasa sidang media di Pejabat Presiden di Seoul pada 7 November 2024. Bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 12 Jun 2026 kerana menghantar dron ke Korea Utara, tindakan yang menurut pihak pendakwaan bertujuan mewujudkan alasan bagi pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal pada Disember 2024. Foto AFP

SEOUL: Mahkamah di Seoul pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol selepas didapati bersalah mengarahkan pencerobohan dron ke Korea Utara dalam usaha meningkatkan ketegangan rentas sempadan dan mewujudkan alasan bagi pengisytiharan darurat tentera pada Disember 2024.

Menurut Agensi Berita Yonhap, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman itu selaras dengan syor hukuman oleh pendakwa raya khas, Cho Eun-suk, terhadap bekas presiden yang kini dipenjarakan itu atas pertuduhan termasuk memberi manfaat kepada musuh dan menyalahgunakan kuasa.

Mahkamah mendapati Yoon mengarahkan operasi itu pada Oktober 2024 untuk mencetuskan provokasi Pyongyang dan menggunakan peningkatan ketegangan rentas sempadan sebagai alasan bagi pengisytiharan darurat tentera pada 3 Disember 2024.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun atas peranannya dalam operasi berkenaan, lebih tinggi daripada hukuman penjara 25 tahun yang dituntut pendakwa raya khas.

Selain itu, Yeo In-hyung, bekas ketua Defence Counterintelligence Command, dihukum penjara 15 tahun kerana terbabit dalam operasi itu, manakala Kim Yong-dae bekas ketua Komando Operasi Dron, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun yang digantung selama lima tahun.

“Dengan tujuan mewujudkan keadaan bagi pelaksanaan darurat tentera, defendan menggunakan operasi ketenteraan sebagai alasan untuk mencetuskan provokasi Korea Utara,” menurut mahkamah itu.

Ini merupakan sabitan terbaharu terhadap Yoon, yang kini dalam tahanan dan berdepan beberapa perbicaraan berkaitan percubaan pengisytiharan darurat tenteranya yang gagal.

Pada Februari, beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengetuai pemberontakan susulan pengisytiharan darurat tentera dan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.- Bernama-Yonhap

Continue Reading

Previous: Tujuh maut, 17 cedera dalam insiden letupan di selatan China
Next: Thailand isytihar 15 hari berkabung atas pemergian Puteri Bajrakitiyabha

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.