

-FOTO ADUN SIMANGGANG
SIMANGGANG: Bazar Ramadan bukan sekadar tempat peniaga mencari rezeki dan pengunjung mencari juadah berbuka, malah menjadi medan merapatkan silaturahim tanpa mengira agama mahupun kepercayaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, pengunjung yang datang ke bazar bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam, tetapi juga masyarakat bukan Islam bagi mendapatkan juadah.
“Uniknya Bazar Ramadan ini menarik minat bukan sahaja satu kaum, malah semua kaum turut bersesak-sesak untuk memilih makanan dan minuman yang diingini.
“Kita di Sarawak khususnya di Bandar Simanggang amat bertuah dapat hidup harmoni tanpa perasaan ekstremis.
“Ini menjadikan setiap aktiviti berupaya menarik minat pengunjung dari dalam dan luar Bandar Simanggang termasuk pelancong asing,” katanya semasa berkunjung ke Simanggang Ramadan Fest 2025 di Jalan Kelab, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, walaupun Bazar Ramadan sudah sinonim dengan masyarakat Islam untuk mencari rezeki, namun ia kini menjadi tempat masyarakat berbilang kaum dan agama bersama-sama merasai suasana sambutan bulan mulia ini.
“Suasana sebeginilah yang kita mahu lihat, keharmonian rakyat berbilang tanpa mengira musim perayaan yang mana kita bersama-sama membantu antara satu sama lain,” katanya.
Beliau menambah, Bazar Ramadan merupakan usaha kerajaan dalam menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat untuk menambah pendapatan mereka.
“Inilah peluang perniagaan yang disediakan untuk menambah rezeki golongan peniaga kecil ketika Ramadan ini,” tambahnya.
OLEH ADI SAFARMAN

