DALAT: Bazaarnita Fatima Dalat yang dilancarkan pada hujung tahun lalu akan diperindahkan lagi dengan lantai berjubin demi keselesaan para peniaga dan pengunjung di sana.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia adalah buah tangan daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika merasmikan Taman Solidariti pada tahun 2020.
“Ia adalah peruntukan daripada Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh Datuk Amar Awang Tengah dan mengumumkannya ketika beliau melancarkan Taman Solidariti Dalat pada hujung tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media setelah melawat Bazarnita Fatima Dalat bagi memantau kerja-kerja naik taraf kemudahan di sana pada Rabu lalu.
Fatimah juga mendedahkan bahawa sebahagian daripada peruntukan sebesar RM150,000 itu juga akan digunakan untuk menyediakan singki di Bazaarnita berkenaan.
“Selain jubin dan singki, kita juga akan menggunakan dana itu untuk memasang penutup sinar matahari pada bangunan BazaarNita,” kata beliau.
Fatimah, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyatakan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bazaarnita tersebut telah diwujudkan demi memastikan kemudahan dan operasinya terurus seperti yang diharapkan.
“Seperti yang kita semua maklum, Bazaarnita Fatima ini adalah sebagai platform bagi ibu-ibu tunggal atau penjaja kecil-kecilan dalam kalangan wanita kita memasarkan produk-produk mereka. Dengan itu operasi dan penyelenggaraannya harus terurus, dengan itu kita merasakan adalah penting untuk mempunyai jawatankuasa pengurusan yang terdiri daripada kalangan mereka sendiri,” tambahnya lagi.
Sementara itu, bangunan yang terletak bersebelahan dengan Pasar Tamu dan Pasar Basah Dalat itu mempunyai 40 lot perniagaan.
Turut serta di dalam lawatan ini ialah Pegawai Daerah Dalat, Kueh Leh Poh dan Pengerusi Jawatan Pengurusan Bazaarnita Fatima Dalat, Kaunselor Moon Ulan Inal.
Oleh Henry b Siyu