BAU: Penduduk di kawasan Bau amat memerlukan klinik kesihatan yang baharu memandangkan dua klinik sedia ada tidak dapat menampung jumlah penduduk serta berada dalam keadaan tidak sesuai dan selesa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, untuk klinik kesihatan di Pekan Siniawan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa menyewa di sebuah kedai.
Malah katanya, keadaan klinik kesihatan itu terlalu kecil dan tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ingin mendapatkan rawatan.
“Pesakit yang datang ke klinik ini terpaksa menunggu di kaki lima, kita amat terdesak untuk memiliki sebuah lagi klinik kesihatan supaya masyarakat yang ramai di kawasan ini mendapatkan perkhidmatan terbaik,” katanya berucap pada Program Sarawakku Sayang di Pekan Warisan Siniawan, Bau, hari ini.
Program itu dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Miro yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputyera Bersatu (PBB) berkata, sebuah lagi klinik kesihatan di Krongkong acapkali ditenggelami banjir setiap tahun.
“Klinik Krongkong berada di kawasan banjir. Setiap tahun ia akan ditenggelami air. Sudah tiba masanya klinik sedia ada ini dipindahkan supaya ia mendatangkan keselesaan bukan sahaja kepada warga kesihatan malah penduduk setempat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan di klinik tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Bau juga amat memerlukan penambahan ketua masyarakat.
“Kita memerlukan penambahan enam orang penghulu di kawasan Daerah Bau. Hal ini kerana, pada masa sekarang, seorang penghulu ini menjaga 19 hingga 20 kampung.
“Terlalu besar tanggungjawab penghulu menjaga 19 hingga 20 kampung untuk kita melicinkan dan memudahkan pengurusan pentadbiran. Ada baiknya jawatan penghulu ini diwujudkan supaya masyarakat di kawasan lebih lagi terarah sekali gus pentadbiran menjadi lebih mudah, licin dan faktor komunikasi antara rakyat dan kerajaan dapat dipermudahkan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN