KUCHING: Depo bas RM1 di Kuching kembali rancak setelah status Daerah Kuching bertukar kepada kuning setelah kes positif Covid-19 menurun dan tiga hari berturut-turut sifar.
Orang ramai telah mula keluar dari rumah untuk menjalani aktiviti seharian seperti biasa, namun masih mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal.
Menurut Roslin Ambrose, kerani penjualan tiket di Syarikat CityLink, industri kenderaan awam telah menunjukkan sedikit peningkatan setelah status Daerah Kuching bertukar ke kuning.
“Meskipun kehadiran penumpang tidak seramai seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kita sudah merasai kehadiran orang awam yang telah mula keluar dari rumah.
“Orang ramai telah mula turun ke tempat kerja masing-masing dan ramai pekerja di kawasan bandar menggunakan perkhidmatan bas RM1 ini,” jelasnya, ketika ditanya mengenai keadaan semasa pengguna bas.
Roslin juga menjelaskan bas yang digunakan untuk membawa penumpang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Kita sedaya upaya mahu mengelakkan risiko penyebaran wabak Covid-19 ini dengan mematuhi saranan SOP daripada JPBNS supaya menyediakan imbasan kod MySejahtera dan Qmunity serta memastikan penumpang duduk berjarak 1 meter.
“Selain itu, kita juga menyediakan imbasan suhu dan gel pembersih tangan dalam setiap bas sebelum penumpang boleh duduk di tempat yang disediakan.
Dia juga menerangkan mengenai kapasiti bas yang hanya boleh membawa penumpang maksima seramai 20 orang bagi bas yang mempunyai 34 kerusi dan 35 bagi bas yang mempunyai 43 kerusi.
Penetapan had penumpang dalam bas ini adalah penting bagi memastikan jarak antara penumpang adalah satu meter dan memastikan tiada bersentuhan ketika dalam perjalanan.
Oleh ASYRAF HALIM