Samarahan tuan rumah sambutan Minggu Belia Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (enam dari kiri) bergambar bersama jawatankuasa penganjur selepas sidang media sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

PETRA JAYA: Bahagian Samarahan dipilih sebagai tuan rumah sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 yang akan berlangsung dari 10 hingga 16 Ogos depan dengan sasaran menghimpunkan kira-kira 7,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti yang memfokuskan pembangunan dan penglibatan belia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, majlis perasmian sambutan itu dijadual berlangsung pada 15 Ogos, 10.30 pagi di Dewan Suarah Samarahan dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sambutan yang sebelum ini dikenali sebagai Hari Belia Sarawak kini diperluaskan kepada Minggu Belia Sarawak bagi memberi lebih banyak ruang kepada pelaksanaan pelbagai program sepanjang tempoh penganjurannya.

“Sambutan ini diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan belia serta untuk meningkatkan kesedaran bahawa pembangunan belia sentiasa menjadi antara keutamaan kerajaan,” katanya pada sidang media sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Menurutnya, tema ‘Belia Aspirasi Kita’ dikekalkan pada tahun ini bagi mencerminkan peranan belia sebagai harapan, aspirasi dan pemimpin masa depan Sarawak.

Katanya, majlis kemuncak turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Belia Lelaki, Anugerah Tokoh Belia Wanita dan Anugerah Persatuan Belia sebagai pengiktirafan kepada individu serta pertubuhan yang menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan belia.

Sepanjang sambutan berlangsung, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk Pertandingan Tempur Belia, Terapi Belia, Ekspo Belia, Kem Belia, Aktiviti Memanjat Dinding Belia, Kemahiran dan Kreativiti Belia, Belia Berbakat, Permainan Warisan, Larian Santai Belia, Kayuhan Santai Belia, e-Sukan, Pertandingan Aerobithon serta Pasar Belia yang melibatkan lebih 30 gerai usahawan belia.

Selain itu, beberapa artis tempatan dan Semenanjung turut dijadual memeriahkan sambutan, antaranya Mawat, Faris Malik, Hairee Francis, Raquel Tan, Hijrah Yahya, Firdaus Materang, JayC, Afiq Shazwan dan Baby Shima.

Mengulas sasaran kehadiran, Abdul Karim berkata penganjur menjangkakan kira-kira 7,000 pengunjung akan menghadiri sambutan tersebut.

Katanya, kapasiti Dewan Suarah Samarahan yang mampu memuatkan sekitar 800 pengunjung di dewan utama menyebabkan kemudahan paparan skrin di luar dewan akan disediakan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengikuti majlis perasmian.

Beliau berharap orang ramai, khususnya golongan belia di Samarahan, Kuching dan kawasan berhampiran, mengambil peluang menyertai pelbagai program yang disediakan sepanjang Minggu Belia Sarawak 2026.

Oleh Shikin Mahmud