KUALA LUMPUR: Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bertemakan ‘Spektrum Sinema’ yang mempertandingkan 25 kategori anugerah, akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada 21 November.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil berkata pemilihan lokasi itu amat signifikan, kerana ia merupakan acara utama pertama yang dianjurkan di dewan berprestij berkenaan selepas selesai menjalani kerja-kerja naik taraf.
“Saya percaya detik bersejarah ini akan memberikan dimensi baharu kepada penganjuran festival filem paling berprestij di negara ini,” katanya pada sidang media FFM35 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Mengenai tema ‘Spektrum Sinema’, Bahria berkata pemilihannya mencerminkan kepelbagaian bahasa, budaya, teknologi dan generasi pembikin filem yang membentuk landskap sinema Malaysia.
“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan industri filem negara dan membuktikan semakin banyak cerita Malaysia mampu diangkat dengan identiti tersendiri untuk dipersembahkan kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata sehingga 24 Julai, FINAS merekodkan kutipan RM111.17 juta menerusi 32 filem di bawah Skim Wajib Tayang, dengan 14 daripadanya mencapai status pecah panggung (box office).
“Pencapaian ini membuktikan karya tempatan terus mendapat tempat di hati penonton apabila disokong oleh kandungan berkualiti, strategi pemasaran yang berkesan serta kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata FFM35 akan memperkenalkan pembaharuan dalam sistem penjurian menerusi proses dua peringkat, dengan panel juri profesional yang dilantik secara sulit akan menyaring lima calon terbaik bagi setiap kategori, sebelum pemenang ditentukan oleh pemain industri menerusi sistem pemarkahan.
“Kita akan menyediakan sistem pautan dalam talian, yang membolehkan sekitar 100 hingga 150 pemenang FFM terdahulu membuat penilaian. Helaian markah mereka mungkin menyumbang 70 peratus daripada keputusan, manakala baki 30 peratus adalah daripada panel juri,” katanya.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memberikan peranan lebih besar kepada penggiat industri seni tempatan dalam menentukan pemenang, selain menyasarkan FFM35 mencapai enam juta penonton menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), berbanding lima juta pada edisi tahun lepas.
Penyertaan FFM35 dibuka mulai 29 Julai hingga 11 Ogos ini dengan antara kategori yang dipertandingkan ialah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pengarah Harapan, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik serta Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. – Bernama




