Castrol rakam jiwa Borneo menerusi ekspedisi darat 2,000km

Facebook
WhatsApp
PASUKAN Discover Borneo merakam kenangan ekspedisi darat sejauh 2,000 kilometer merentasi Sabah dan Sarawak.

KUCHING: Ekspedisi darat sejauh kira-kira 2,000 kilometer merentasi Sabah dan Sarawak bukan sekadar perjalanan kenderaan, sebaliknya menjadi usaha mendokumentasikan denyut kehidupan, budaya, warisan serta kisah komuniti Borneo menerusi inisiatif Discover Borneo oleh Castrol Malaysia.

Ekspedisi selama 10 hari itu melibatkan perjalanan konvoi darat selama tujuh hari dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuching, Sarawak, dengan pasukan dokumentari menelusuri pelbagai bandar dan kawasan termasuk Sipitang, Lawas, Miri, Bintulu serta Sibu sebelum meneruskan perjalanan melalui Brunei.

Menerusi perjalanan itu, pasukan Discover Borneo merakam pelbagai pengalaman sepanjang laluan termasuk keindahan jalan raya, pasar tempatan, lokasi warisan, sajian makanan serta interaksi bersama komuniti yang menggambarkan kepelbagaian budaya Sabah dan Sarawak.

Inisiatif berkenaan diadakan sebagai platform penceritaan di lapangan untuk membawa kisah-kisah kurang diketengahkan mengenai Malaysia Timur lebih dekat kepada rakyat, sejajar dengan usaha memperkukuh promosi pelancongan domestik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bagi Castrol, perjalanan tersebut turut mencerminkan peranan mobiliti dalam kehidupan masyarakat di Sabah dan Sarawak, khususnya penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang bukan sekadar untuk pengembaraan lasak, tetapi menjadi sebahagian daripada rutin harian melibatkan pekerjaan, keluarga, perdagangan dan penerokaan kawasan pedalaman.

Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina, Joshua Tan berkata, Discover Borneo mempunyai nilai peribadi buat dirinya sebagai anak Sarawak kerana ia menggambarkan cara hidup yang dekat dengan masyarakat Malaysia Timur.

“Di sini, kenderaan pacuan empat roda bukan sekadar untuk pengembaraan luar jalan. Ia sebahagian daripada cara masyarakat bekerja, bergerak, berhubung dengan keluarga dan meneroka tempat baharu di Sabah serta Sarawak.

“Apabila menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer merentasi pelbagai bentuk muka bumi, sokongan dan keyakinan amat penting.

“Castrol bukan sahaja menawarkan pelincir berkualiti, tetapi turut menyediakan rangkaian sokongan melalui bengkel Castrol Auto Service untuk membantu memastikan pengguna terus bergerak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sepanjang perjalanan, konvoi itu disokong oleh Toyota Malaysia menerusi penyediaan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Toyota Fortuner, manakala King Diesel membantu dari segi penyelarasan perjalanan darat.

Perjalanan tersebut turut menampilkan penggunaan Castrol CRB TURBOMAX dengan Teknologi Durashield™ yang direka untuk membantu melindungi enjin daripada kesan haba, mendapan dan kehausan, terutama ketika melalui keadaan cuaca tropika, jarak perjalanan jauh serta pelbagai keadaan jalan raya.

Antara pengalaman penting sepanjang perjalanan ialah kunjungan pasukan Discover Borneo ke rumah panjang di Engkudu Atas, Bahagian Sarikei, yang memberi peluang kepada mereka mengenali lebih dekat warisan masyarakat tempatan menerusi hasil kraftangan anyaman rotan, alat muzik tradisional engkromong serta hidangan tradisi Dayak seperti terung Dayak, manok pansoh, ikan pansoh dan midin.

Menerusi Discover Borneo, Castrol akan menerbitkan siri dokumentari berperingkat menerusi platform digital seperti Facebook, Instagram dan YouTube bagi membolehkan orang ramai meneroka pengalaman perjalanan tersebut melalui kisah masyarakat, lokasi serta laluan yang dilalui sepanjang ekspedisi.