KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT) Sarawak bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, hari ini.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kenyalang, JPJ Sarawak itu diketuai Pengarah PERHEBAT Sarawak, Aireen Amani Guyah dan disambut Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta golongan bekas anggota tentera.

“Selain mengeratkan hubungan sedia ada, sesi ini turut membuka ruang untuk meneroka kerjasama baharu yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua organisasi,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir pegawai-pegawai PERHEBAT Sarawak serta pegawai kanan JPJ Sarawak.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada PERHEBAT Sarawak atas kunjungan hormat tersebut dan berharap hubungan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh pada masa hadapan.




