SARATOK: Penyaluran pelbagai bentuk bantuan terutamanya dalam aspek pendidikan daripada kerajaan kepada pelbagai lapisan rakyat di negeri ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, pelbagai bantuan untuk golongan pelajar khasnya itu diyakini mampu meringankan beban yang ditanggung terutama kepada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Katanya, bantuan tersebut termasuk bantuan awal persekolahan, baucar pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak, bantuan pendidikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan buku dan banyak lagi.
“Sesiapa (pelajar) yang layak menerima bantuan, sudah pasti akan disalurkan bantuan. Ini membuktikan betapa prihatinnya kerajaan hari ini terhadap kebajikan rakyatnya.
“Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, mereka juga ada bantuan tetapi tidak sebanyak di Malaysia. Maka kita perlu bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang prihatin akan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Jaaizatul Mumtaaziin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok 2024 di sini, semalam.
Mohamad Duri dalam pada itu berkata, dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada 2026 bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak yang belajar di lima universiti milik kerajaan Sarawak.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai anak Sarawak termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka untuk meningkatkan prestasi pelajaran agar mereka dapat menikmati peluang itu apabila dilaksanakan kelak.
“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pendidikan percuma bermula 2026 dan pastinya ia akan membuka lebih banyak peluang kepada belia-belia di Sarawak amnya dan di DUN Kalaka khasnya melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya adalah peluang bagi pelajar meningkatkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Pada majlis tersebut, Mohamad Duri turut menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima selain turut menyampaikan Anugerah Kokurikulum, Anugerah Sahsiah Diri Murid (SSDM), Anugerah Kehadiran Murid 100 peratus dan Penghargaan Kepimpinan kepada para penerima.
Oleh Adi Safarman