

PARAS air banjir di sekitar Kanowit menunjukkan trend menurun. Foto Bomba
KANOWIT: Keadaan banjir di beberapa kawasan rendah di daerah ini mula menunjukkan tanda pemulihan apabila paras air semakin menurun sejak awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pemantauan yang dilakukan mendapati cuaca baik membantu proses surutnya air di beberapa kawasan utama yang sebelum ini dinaiki air.
“Antara lokasi yang dipantau adalah KM3 Jalan Ranan, Jalan Poi, Jalan Lukut/Penyulau serta Sungai Kanowit.
“Setakat pemantauan yang dijalankan antara 6.50 hingga 7.50 pagi, paras air menunjukkan trend menurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jalan Poi kini boleh dilalui semua kenderaan, manakala KM3 Jalan Ranan masih mempunyai kedalaman air sekitar satu kaki, namun hanya kenderaan berat dibenarkan melaluinya.
Sementara itu, Jalan Lukut/Penyulau masih tidak dapat dilalui kerana kedalaman air mencecah satu hingga empat kaki.
Tambahnya, sepanjang rondaan dilakukan, pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau permohonan pemindahan mangsa.
“Keadaan banjir terkawal dan tiada kejadian yang membahayakan setakat ini
“Anggota bomba akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang berisiko,” katanya.
Oleh Tarani Lanting