SIBU: “Sebaik sahaja saya menoleh ke kiri, lantai rumah sudah digenangi air, tilam dan separuh badan saya sudah basah sepenuhnya,” kata Mohd. Rahman Kassim, 32, yang tidurnya dikejutkan dengan air Sungai Batang Igan yang melimpah masuk ke dalam rumahnya di Kampung Hilir di sini, semalam.
Menurut Rahman, air mula melimpah masuk ke dalam rumahnya sekitar jam 11.00 malam Ahad, pada paras buku lali sahaja.
Namun, pada pagi semalam (Isnin) sekitar 8.00 pagi, air naik secara mendadak dan menyebabkan rumahnya dinaiki air sehingga paras betis.
“Air naik sangat cepat, terdapat beberapa harta benda kami yang tidak sempat diselamatkan. Kami terpaksa memindahkan peralatan elektrik dan perabot ke kawasan lebih tinggi.
“Saya harap air akan cepat surut, jika tidak kami sekeluarga terpaksa menunggung pelbagai kerugian,” katanya kepada Utusan Sarawak ketika tinjauan banjir di sekitar kawasan kampung sepanjang Sungai Batang Igan di sini, semalam.
Ketika tinjauan sekitar jam 9.00 pagi, paras air Sungai Batang Igan semakin tinggi menyebabkan beberapa kawasan kampung di sini dilanda banjir.
Antara kawasan kampung yang terjejas ialah Kampung Datu Lama, Kampung Hilir, Kampung Nangka dan sebahagian Kampung Bandong dan Kampung Baharu.
Sementara itu, bagi Ali Saibe, 50, beliau turun awal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali semalam setelah mendapat tahu sekolah tersebut dinaiki air melalui media sosial.
“Anak saya bersekolah di sana. Bimbang akan keselamatannya, saya datang awal bagi menjemputnya di hadapan pintu sekolah.
“Ketika sampai, saya dapati guru dan kakitangan sekolah ada menjaga pergerakan murid bagi memastikan mereka tidak bermain air banjir,” katanya.
Utusan Sarawak turut meninjau ke beberapa kawasan lain yang dinaiki air seperti di Jalan Lanang, Jalan Khoo Peng Loong, Perkuburan Islam Al-Qadim dan lain-lain.
Dalam pada itu, menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, PgKB I Janggan Muling ketika dihubungi semalam, keadaan banjir di Sibu masih terkawal.
Katanya, hanya beberapa kawasan rendah yang terjejas akibat paras air yang meningkat terutamanya di kawasan Jalan Khoo Peng Loong.
“Bagaimanapun, kawasan lain tidak banyak terjejas walaupun trend air menunjukkan peningkatan.
“Hal ini kemungkinan berpunca daripda hujan yang turun di bahagian hulu. Kita berharap paras air akan turun,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad