KUCHING: Bangkai seekor buaya jantan berukuran kira-kira empat meter dan seberat 150 kilogram ditemui tersangkut pada serawan pukat penduduk kampung di Teluk Asam berhampiran Taman Negara Bako.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, SFC Kuching kemudiannya melupuskan bangkai buaya itu di anak Sungai Bako selain mengambil contoh spesimen bagi tujuan forensik.
“Kami turut mengingatkan penduduk kampung untuk tidak membuang sampah terutamanya sisa makanan kerana ia antara faktor penyumbang utama buaya datang menghampiri kawasan rumah yang berdekatan dengan sungai.
“Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada semasa menjalankan aktiviti memancing, menjala atau apa-apa juga aktiviti di persekitaran sungai,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya boleh menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu), atau 019- 8290994 (Miri).
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Foto FB SFC