BEKENU: Para pengerusi ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bekenu telah menerima beg khas bagi menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Utara yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini (13 September).
Konvensyen Khas PBB Zon Utara telah dijadualkan diadakan di Stadium Tertutup Miri yang dijangka menghimpunkan kira-kira 3,800 perwakilan daripada 18 cawangan PBB.
Konvensyen berkenaan melibatkan cawangan PBB dari Bekenu, Belaga, Bintulu, Miri, Marudi, Limbang, Lawas dan Ba’Kelalan, termasuk perwakilan daripada Pergerakan Pemuda, Wanita, Belia serta Cawangan Pusat.
Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan konvensyen berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pula bertindak sebagai Pengerusi Konvensyen Khas PBB Zon Utara.
Persidangan cawangan dijadual berlangsung pada Sabtu ini (12 September) sebelum usul yang dibincangkan dimuktamadkan pada konvensyen utama sehari kemudian.
Pengerusi PBB Ranting Selanyau, Abdul Rashid Yaakub ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu hari ini berkata, konvensyen khas itu memperlihatkan kesiapsiagaan jentera PBB di Zon Utara dalam memperkukuh perpaduan, organisasi dan gerak kerja parti di semua peringkat.
Pengerusi PBB Ranting Bekelit Pakut, Tuai Rumah Rajit Ambas berkata, penganjuran itu merupakan sebahagian daripada usaha parti memperkukuh jentera dan akar umbi, selain memastikan para perwakilan memahami dasar kerajaan serta perjuangan parti.
Ketua Pemuda PBB Cawangan Bekenu, Abang Zai berkata, konvensyen ini sebahagian daripada inisiatif parti untuk memperkukuh akar umbi, selain memastikan para perwakilan memahami dasar kerajaan serta perjuangan parti di samping mengukuhkan semangat perpaduan dan kesepakatan, jelasnya.
Oleh Adum Liu




