KUCHING: Hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada teknologi, inovasi dan manfaat sebenar kepada masyarakat, bukan sekadar kekal di makmal atau jurnal akademik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penyelidikan hanya benar-benar berjaya apabila menghasilkan manfaat yang bermakna dan boleh diukur kepada masyarakat.
“Penyelidikan tidak seharusnya kekal di makmal atau jurnal akademik. Ia perlu menghasilkan teknologi baharu, penjagaan kesihatan yang lebih baik, industri inovatif, dasar berasaskan bukti, peluang ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak perlu memperkukuh hubungan antara pihak yang menjana ilmu, membangunkan teknologi, mengkomersialkan hasil penyelidikan dan membawa inovasi ke pasaran lebih luas.

Katanya, kerajaan, universiti, institusi penyelidikan, industri, pelabur dan rakan antarabangsa masing-masing mempunyai peranan penting dalam mengubah idea kepada penyelesaian praktikal.
“SHInE menjadi platform penting untuk menghubungkan sektor-sektor ini, menggalakkan kerjasama bermakna dan mempercepatkan proses menterjemahkan penyelidikan kepada inovasi dan akhirnya kejayaan komersial,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, pembangunan bakat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan usaha memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi disokong oleh generasi baharu yang berkemahiran
Beliau berkata, BRIGHT SPARKX yang menjadi antara program utama SHInE menyediakan platform kepada pelajar untuk meneroka idea, mengembangkan kreativiti dan mencetuskan potensi inovasi sejak usia muda.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua finalis BRIGHT SPARKX atas kreativiti, keazaman dan semangat mereka. Idea yang diketengahkan menunjukkan inovasi boleh bermula pada usia muda apabila pelajar diberikan peluang, galakan dan platform untuk meneroka potensi mereka,” katanya.
Menurutnya, pelajar hari ini merupakan saintis, jurutera, inovator dan pemimpin masa depan yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Sarawak.
Beliau turut menghargai peranan guru, mentor, ibu bapa dan sekolah dalam memberikan sokongan serta galakan kepada peserta BRIGHT SPARKX.
“Tidak kira sejauh mana kemajuan infrastruktur atau teknologi kita, aset terbesar kita sentiasa bakat dan keupayaan rakyat,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan terus melabur dalam pendidikan STEM, keupayaan penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan bagi memastikan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan disokong bakat tempatan.
Oleh Afiq Sallehi





