
KUALA LUMPUR: Memecahkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Tee Kai Wun-Man Wei Chong disifatkan sebagai pelan jangka masa panjang dalam memperkukuh sektor beregu negara menjelang kelayakan Olimpik tahun depan.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perancangan tersebut sama sekali tidak menjejaskan ranking dunia membabitkan Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kedua dunia sementara Wei Chong-Kai Wun kini menghuni ranking keenam dunia.
“Perkara ini tidak dibincangkan secara khusus tetapi Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara) telah berbincang dengan ahli majlis berkaitan sebulan yang lepas.
“Saya menyokong penuh keputusan pihak kejurulatihan untuk mencuba gandingan baharu. Kita perlu memberi peluang kepada jurulatih untuk mencuba strategi berbeza,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Bukit Kiara di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun masing-masing akan kekal bergandingan bagi menghadapi beberapa kejohanan dunia dengan menggunakan ranking dunia semasa mereka.
“Dari segi ranking, mereka akan menggunakan ranking nasional. Untuk Kejohanan Dunia, mereka akan tetap kekal dengan pasangan asal kerana mereka layak berdasarkan gandingan tersebut.
“Namun, kita perlu fikir untuk jangka masa panjang, terutamanya untuk kelayakan Olimpik tahun depan. Lebih baik kita cuba sekarang daripada mencuba tahun depan ketika tempoh kelayakan Olimpik bermula,” katanya.
Terdahulu, timbul teka-teki berhubung gandingan membabitkan kedua-dua pasangan itu selepas menyaksikan Aaron akan digandingkan dengan Kai Wun sementara Wooi Yik bersama-sama Wei Chong pada kejohanan Terbuka Jepun di Tokyo pada 14 hingga 19 Julai depan, berdasarkan senarai dikeluarkan.- Bernama