BEKENU: Balai Bomba Batu Niah untuk daerah Subis mula digunakan dan beroperasi sejak 1 Jun lepas.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus ketika ditemui Utusan Sarawak di pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu di sini semalam, mengucap terima kasih kepada kerajaan atas kejayaan menyediakan satu lagi kemudahan awam untuk penduduk daerah Subis.
Beliau berkata dengan siapnya balai bomba itu di Batu Niah (daerah Subis) ia akan dapat memberi bantuan segera bila berlaku kes kebakaran dan bencana alam.
“Majlis pembukaan rasmi balai bomba itu akan dirancang selepas tamat tempoh penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun (hari ini).
“Sebelum majlis pembukaan rasminya adalah perlu bagi petugasnya menjalani latihan selama dua bulan. Setakat ini ada seramai 17 anggota yang bertugas di balai bomba tersebut”, jelasnya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, beliau merancang menyusun semula Bomba Sukarelawan Bekenu dan Batu Niah dari segi pemilikan peralatan, kekuatan anggota serta keperluannya.
Peralatan bantuan untuk bomba sukarelawan penting bagi memberi bantuan awal sementara menunggu bantuan anggota bomba sepenuhnya jika berlaku kecemasan, katanya.
“Kita juga berharap bomba Batu Niah akan mempergiatkan Bomba Komuniti di kampung dan rumah panjang di daerah Subis”, katanya dan menambah, dengan siapnya Balai Bomba di Batu Niah, Daerah Subis akan mempunyai kegiatan aktiviti pusat kebombaan sendiri.
“Sebelum ini semua kegiatan dan aktiviti kebombaan berdasarkan jadual daripada peringkat bahagian,” jelasnya lagi.
Rosey semalam turut dikunjungi Pemangku Ketua Balai Bomba Batu Niah, Francis Aceh Angai di Pusat Khidmat DUN Bekenu. Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Sarkawi Suhaili dan Pemanca Ali Mudin.
Oleh Adum Liu