KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) telah memuktamadkan Kemudahan Pembiayaan Islam Bersindiket Pelbagai Matawang patuh-Syariah berkaitan mapan yang pertama seumpanya membabitkan nilai US$800 juta (kira-kira RM3.5 bilion).
Dalam satu kenyataan, syarikat telekomunikasi serantau itu berkata pembiayaan bersindiket itu merupakan usaha pembiayaan Islam berkaitan mapan yang pertama dilaksanakan di Malaysia serta di peringkat global.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata komitmen syarikat bagi pematuhan serta kemapanan kini dipertingkatkan lagi menerusi sumbangan terhadap keuntungan melalui inovasi mekanisme pembiayaan yang mengiktiraf Axiata kerana memenuhi sasaran prestasi tersebut.
Malah, beliau menyifatkan pemeteraian pembiayaan bersindiket itu sebagai pencapaian besar untuk Axiata.
“Ia jelas memaparkan pendekatan kami ke arah operasi perniagaan dan saluran pembiayaan bagi tujuan pertumbuhan jangka panjang serta prestasi yang mampan. Sebagai sebuah syarikat yang berusaha untuk mewujudkan nilai di semua pasaran, kami akan terus bergerak berdasarkan amalan antarabangsa terbaik serta prinsip-prinsip kemapanan,” katanya.
Majlis pemeteraian secara digital itu dilakukan antara Axiata dan OCBC Al-Amin Bank Bhd yang berperanan sebagai penyelaras utama dan penasihat penstrukturan kemapanan dan Shariah berserta pengatur dan pembiaya utama – Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd, Cawangan Labuan; Maybank Islamic Bank Bhd dan MUFG Bank (Malaysia) Bhd.
Menurut Jamaludin, gabungan prinsip-prinsip pembiayaan Islam berserta ciri-ciri kemapanan dan pelbagai mata wang itu turut mencatat sejarah baharu bagi pasaran kewangan tempatan dan antarabangsa.
“Ia turut menekankan komitmen Axiata bagi memastikan penyelarasan strategi perniagaan dan rangka kerja mapan,” katanya.
Beliau berkata selain kepelbagaian pilihan pendanaan, mekanisme pembiayaan yang inovasi dan ditawarkan menerusi struktur pembiayaan patuh Syariah itu turut bertujuan mempertingkat kedudukan mudah tunai Axiata, terutamanya ketika tempoh mencabar seperti sekarang selain membolehkan syarikat meraih manfaat daripada pengoptimuman kos pembiayaan.
Sehubungan itu, Axiata akan meraih manfaat daripada kos pembiayaan yang lebih rendah sekiranya ia melebihi kriteria ketat ditetapkan syarikat di bawah rangka kerja terbabit.
Menurutnya, pemuktamadan pembiayaan bersindiket itu juga memaparkan keyakinan dan sokongan kuat kalangan bank-bank terbabit terhadap kemapanan dan hala tuju jangka panjang perniagaan Axiata, disokong oleh kedudukan kukuhnya di peringkat serantau dan 11 pasaran di ASEAN dan Asia Selatan. – Bernama