SANTUBONG: Malam kedua Konsert Rock In The Jungle (RITJ) menyaksikan gabungan mantap kumpulan Wings, Edane, Candy, Senseless, dan BNB Band, berjaya menghidupkan semangat rock dan metal.
Wings, legenda rock Malaysia, membuktikan status mereka sebagai ikon muzik rock tanah air berjaya hidupkan semangat penonton yang membanjiri lokasi konsert, Kampung Budaya Sarawak.
Diterajui oleh vokalis tersohor Datuk Awie, Wings memulakan persembahan menerusi lagu Puisi Merdeka, Sekeping Kertas Bermaruah, Jerangkung Dalam Almari, Dalam Kehadiran Sofea, Romania dan Awang Trasher.
Seterusnya, Wings turut memukau peminatnya dengan lagu Bujang Senang, Biarkan Berlalu, Lipas Kudung, Peronda, Sejati dan diakhiri dengan lagu Peronda Jaket Biru.
Persembahan Wings bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman emosional yang mengimbau kenangan kegemilangan rock.
Wings membuktikan bahawa muzik rock mereka kekal relevan, merentas generasi dan terus menjadi inspirasi kepada peminat dan pemuzik baharu.
Persembahan mereka di RITJ adalah bukti bahawa semangat rock sejati masih hidup dan tidak akan pudar.
Dalam pada itu, Edane pula tampil garang dengan hentakan riff gitar yang memukau, mengukuhkan status mereka sebagai ikon heavy metal Indonesia.
Penonton tidak hanya terpaku dengan persembahan teknikal Endane yang sempurna tetapi juga ketika Eet Sjahranie memukau penonton dengan persembahan solo gitar yang kompleks penuh emosi.
Selain itu, Candy, satu-satunya kumpulan rock wanita berjaya membuktikan mereka mampu berdiri setanding dengan band lelaki.
Persembahan mereka penuh tenaga menunjukkan kekuatan muzik rock daripada perspektif wanita.
Menampilkan ‘lineup’ baharu iaitu Patricia, Nancy, Anis Kalisa dan Bulan Terry, Candy berjaya mencuri perhatian peminat dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Setia2u, Creep, Ikrar Pewira dan diakhiri dengan lagu hitsnya, Akan Ku Tunggu.
Pada masa sama, Senseless, sebuah band heavy metal yang ikonik berjaya menghidupkan semula kenangan manis era muzik metal.
Dengan vokal yang garang, riff gitar yang agresif dan rentak dram menghentak jiwa, Senseless memukau pentas dari awal hingga akhir persembahan menerusi lagu Burning The Witches, Fantasy On My Own, Once Human dan banyak lagi.
Sementara itu, BNB Band menyerlahkan bakat baharu yang berjaya memanaskan pentas dengan persembahan penuh semangat. Gabungan unik ini membuktikan bahawa muzik rock dan metal terus relevan dan mampu menyatukan peminat pelbagai generasi.
Penonton yang hadir pulang dengan kepuasan, membawa kenangan indah malam yang penuh gegaran dan energi. Konsert RITJ malam kedua benar-benar mencerminkan jiwa rock sebenar.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh Mohd Neenatul Aizal