KUCHING: Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza mengungguli antara penerima anugerah pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) selepas membawa pulang empat trofi pada malam kemuncak acara berkenaan.
Beliau meraih Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya, selain Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.
“Saya hantar lebih daripada satu lagu kerana tidak tahu karya mana yang akan menambat hati juri.
“Bagi saya, AIM bukan sekadar tentang diri sendiri, tetapi pentas untuk menghargai usaha pencipta lagu, penulis lirik, penyusun muzik dan penerbit yang sudah memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui media selepas menerima anugerah.

Penyanyi Aisha Retno pula membawa pulang tiga pengiktirafan menerusi kategori Album Terbaik bagi [RE.HAB], Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T serta Rakaman Album Terbaik dalam kategori Pra-Anugerah.
Aisha berkata, kemenangan Album Terbaik itu hadir selepas lapan tahun berkecimpung dalam industri, selain menyifatkan [RE.HAB] sebagai sebahagian daripada perjalanan dirinya untuk bangkit daripada pengalaman sukar yang dilalui sebelum ini.
Beliau turut menerima geran kreatif yang menurutnya boleh digunakan untuk menunaikan ibadah umrah sekiranya diperuntukkan bagi tujuan peribadi, atau disalurkan kepada penghasilan muzik dan album sekiranya berkaitan dengan kerjaya seninya.

Ella pula menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri muzik tanah air.
Sementara itu, penyanyi Arddley Nicholas dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Sandiwara Cinta terbitan Kelarai Sakti.
Kumpulan Alpha pula mencipta kejayaan apabila memenangi kategori Artis Baru Terbaik menerusi lagu Mona Lisa (Bang Bang) terbitan Rocketfuel Entertainment.
Oleh Adele Rissa



