
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Algeria dan Austria mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas terikat 3-3 dalam perlawanan penuh dramatik di Kansas City, sebentar tadi, sekali gus menyingkirkan Iran daripada kejohanan.
Penyerang veteran Austria, Marko Arnautovic, meletakkan pasukannya di depan di Stadium Arrowhead sebelum Rafik Belghali menyamakan kedudukan sejurus sebelum tamat babak pertama hasil situasi yang berpihak kepada Algeria.
Marcel Sabitzer kembali meletakkan Austria di hadapan menerusi jaringan menarik, namun beberapa minit kemudian Algeria sekali lagi menyamakan kedudukan hasil penyudah bekas pemain Manchester City, Riyad Mahrez.
Kedua-dua pasukan dilihat berpuas hati dengan keputusan seri yang memadai untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya, namun aksi penuh debaran berterusan hingga ke penghujung perlawanan.

PENJAGA gol Algeria, Oussama Benbout (#16), gagal menghalang tandukan penyerang Austria, Sasa Kalajdzic (#14), yang menghasilkan gol ketika aksi Kumpulan J Piala Dunia 2026 antara Algeria dan Austria di Stadium Kansas City. Foto AFP
Mahrez menjaringkan gol keduanya pada minit ke-93, namun Austria menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir menerusi tandukan pemain gantian, Sasa Kalajdzic, yang mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kem Austria.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan Kumpulan J dengan empat mata di belakang juara kumpulan, Argentina kendalian Lionel Messi, yang mengumpul sembilan mata penuh.
Austria mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak 1982, manakala Algeria mengulangi pencapaian mereka pada Piala Dunia 2014 di Brazil.
Algeria akan berdepan Switzerland pada pusingan seterusnya, manakala Austria yang muncul naib juara kumpulan bakal menentang juara Eropah, Sepanyol.
Spekulasi sebelum perlawanan
Menjelang perlawanan, timbul spekulasi bahawa kedua-dua pasukan mungkin cuba mengelak daripada menamatkan saingan di tempat kedua bagi menghindari pertemuan dengan Sepanyol, antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan.
Namun kedua-dua jurulatih menolak dakwaan itu pada sidang media sebelum perlawanan, dan corak permainan yang dipamerkan membuktikan mereka serius memburu keputusan terbaik.
Dalam cuaca lembap di kawasan barat tengah Amerika Syarikat, perlawanan mula rancak selepas rehat hidrasi pertama yang disambut dengan sorakan sinis penyokong Algeria.
Arnautovic memecah kebuntuan pada minit ke-28 menerusi percubaan tepat pertama perlawanan.
Penyerang berusia 37 tahun itu mengawal hantaran jauh daripada David Alaba sebelum tenang menewaskan penjaga gol Algeria, Oussama Benbot, yang diberi kepercayaan menggantikan Luca Zidane, anak kepada legenda Perancis, Zinedine Zidane.
Algeria hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-40 apabila rembatan deras Fares Chaibi dari luar kotak penalti terkena tiang gol.
Belghali akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-45 selepas melepasi tiga pertahanan Austria sebelum melepaskan rembatan padu.

Algeria turut bernasib baik apabila peluang itu tercipta selepas pertahanan Austria, Phillipp Mwene, cuba mengeluarkan bola, namun bola melantun semula daripada bendera penjuru sebelum disambar Belghali.
Perlawanan kembali perlahan pada awal babak kedua sebelum Sabitzer meledak gol pada minit ke-55 hasil gerakan berpasukan yang kemas, menyudahkan hantaran lintang Konrad Laimer dari luar kotak penalti.
Lima minit kemudian, Mahrez sekali lagi menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan hantaran tepat Houssem Aouar.
Ketika masa semakin suntuk, kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan mengurangkan risiko kerana satu mata sudah memadai untuk memastikan kemaraan.
Bagaimanapun, drama pada penghujung perlawanan akhirnya menamatkan harapan Iran, yang menunggu peluang untuk mara sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik. – AFP