Washington: Amerika Syarikat (AS) akan memastikan vaksin Covid-19 diedarkan secara percuma kepada rakyatnya.
Pegawai kanan Jabatan Kesihatan negara itu, ia jika vaksin berkenaan terbukti berkesan.
“Kita tidak akan melonggarkan prosedur penilaian terhadap vaksin itu dan ia diharap akan diluluskan (penggunaannya),” katanya kepada pemberita.
Washington sebelum ini sudah melabur AS$10 bilion (kira-kira RM41 bilion) dalam enam projek pembangunan vaksin.
Selain itu, ia menandatangani perjanjian bagi pembekalan vaksin yang diluluskan penggunaannya. Dos berkenaan akan dibiayai oleh kerajaan.
Bagaimanapun, doktor atau klinik yang menyediakan perkhidmatan perubatan tetap perlu dibayar.
Namun, sebahagian besar kos ini sudah diliputi oleh insurans awam dan persendirian.
“Kita berada dalam landasan tepat untuk membekalkan ratusan juta dos vaksin menjelang Januari 2021,” katanya.
Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Francis Collins berkata, pihaknya optimis terdapat sekurang-kurangnya satu vaksin akan berjaya diluluskan dan diedarkan, sebelum akhir tahun ini.
Bagaimanapun, ada pihak yang bimbang pentadbiran mungkin melonggarkan prosedur keselamatan dalam usaha memastikan vaksin itu dapat dibekalkan sebelum pemilihan Presiden AS, November ini.
Rusia sudah meluluskan vaksin Covid-19 sebelum bermulanya fasa terakhir ujian klinikal dengan ia disuntik kepada ribuan sukarelawan bagi mengetahui keberkesanannya.
“Saya berharap rakyat Rusia akan membuktikan vaksin berkenaan selamat dan berkesan, tetapi saya ragu-ragu mengenai perkara itu, ” kata pegawai kanan penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci.-AFP