SARIKEI, 28 Oktober: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Jalan Repok, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, kemalangan berlaku kira-kira 4.50 pagi ketika mangsa menunggang basikal berwarna merah dari arah Jalan Repok menuju ke bandar Sarikei.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa bergerak lurus seorang diri di kiri jalan menghala ke arah bandar Sarikei.
“Di tempat kejadian, mangsa telah dilanggar pada bahagian sisi kanan oleh kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan media pada malam tadi.
Aswandy berkata, pemandu kenderaan terbabit tidak berhenti selepas pelanggaran, sebaliknya meneruskan perjalanan menuju ke Jalan Masjid Lama.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Pada jam lebih kurang 5.30 petang, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sarikei,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang melanggar mangsa ketika sedang menunggang basikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mustaqim, di talian 010-4427241 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.
Aswandy turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Earl Anek




